GUNA PESAWAT UAV PERHEBAT KAWALAN KESELAMATAN SABAH: KM HAJIJI

GUNA PESAWAT UAV PERHEBAT KAWALAN KESELAMATAN SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Sudah tiba masanya penggunaan pesawat udara tanpa pemandu (unmanned aerial vehicle (UAV)) diperkasakan bagi memantapkan lagi penubuhan dan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ia bagi memastikan penubuhan ESSCOM selaku peneraju keselamatan dalam mengkordinasi pengoperasian kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dapat dioptimumkan terutama dari segi keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

Menurutnya, kawasan ESSZone meliputi 10 daerah, dari Kudat hingga ke Sandakan dan keadaan ini amat mencabar.

“Justeru, penggunaan UAV ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko keselamatan
kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan domain
udara khususnya dalam melaksanakan pengawasan di kawasan pantai timur Sabah dan lebih berorientasikan pengguna akhir (end user)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM Tahun 2023
di Hotel Hilton pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan bertanggungjawab kepada ESSCOM berkata, penggunaan aset dan teknologi baharu seperti UAV akan memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di ESSZone.

Menurutnya, ini akan membantu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di sempadan dan perairan negara bagi menangani sebarang keadaan atau isu yang tidak diingini. tegasnya.

Katanya, atas dasar keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan petugas ESSCOM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti kuarters petugas ESSCOM di Lahad Datu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan semoga inisiatif ini akan
menambahkan lagi semangat petugas di Esscom untuk memberikan yang terbaik dalam mempertahankan kedaulatan negara,” tegasnya.

Mengulas kes tuntutan Sulu, beliau berkata, keputusan oleh Mahkamah Tinggi The Hague yang memihak kepada Malaysia merupakan kemenangan besar kepada kerajaan Malaysia amnya dan Sabah khasnya.

Hajiji menegaskan, ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti berusaha melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.

Demikian juga kerajaan negeri Sabah, tidak akan pernah membenarkan mana-mana pihak yang cuba mencabul hak dan kedaulatan negeri Sabah.

Sementara itu Hajiji menggesa semua pengamal media agar terus mendidik masyarakat melalui penulisan berita untuk menjadi warga yang cintakan negara serta memiliki jati diri yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, lebih lebih lagi khas untuk negeri Sabah.

“Hakikatnya, tiada siapa boleh menafikan kepentingan peranan pihak media dalam mendidik masyarakat melalui penulisan di media massa. Kata pepatah ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’ amat signifikan kerana melalui penulisan, media dapat mengubah pemikiran masyarakat.

“Malah kekuatan mata pena boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara,” tegasnya.

Katanya, janji Kerajaan Perpaduan memberikan kebebasan media adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan.

Cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta penyemakan semula Akta Anti Berita Tidak Benar dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjadi cerminan kepada komitmen dan keseriusan kerajaan mewujudkan persekitaran media yang bebas menyalur maklumat berwibawa kepada rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, banyak perkara yang perlu ditimbang tara sebelum merealisasikan impian ini terutama ledakan maklumat akibat kemajuan teknologi mengubah cara dan budaya pemikiran anak-anak muda.