Harga RON95 Kekal RM1.99 Walaupun Harga Minyak Dunia Meningkat – PMX

Harga RON95 Kekal RM1.99 Walaupun Harga Minyak Dunia Meningkat – PMX

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia meningkat ketara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, harga minyak mentah Brent kini meningkat daripada sekitar USD70 setong kepada USD103 setong, yang secara langsung memberi kesan kepada kos pengangkutan, insurans serta harga barangan.

“Bila minyak naik, kos pengangkutan naik, insurans naik dan harga barang turut meningkat. Tetapi alhamdulillah, walaupun harga minyak dunia meningkat, harga jualan RON95 di Malaysia kekal RM1.99,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di Pusat Beli-Belah Suria Sabah, di sini, hari ini.

Anwar berkata langkah mengekalkan harga tersebut menyebabkan kerajaan perlu menanggung subsidi yang tinggi, namun ia dilakukan bagi meringankan beban rakyat.

Menurutnya, Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api paling rendah di dunia, dengan hanya Brunei mencatat harga sedikit lebih murah.

“Kalau kita bandingkan, harga petrol di Singapura sudah melebihi RM10 seliter, manakala kebanyakan negara ASEAN lain juga telah menaikkan harga minyak. Di Malaysia kita kekalkan pada RM1.99,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan juga mengekalkan harga diesel di Sabah dan Sarawak walaupun kos sebenar bahan api tersebut meningkat.

Menurutnya, kerajaan pada tahun lalu menanggung subsidi diesel sebanyak RM2 bilion bagi Sabah dan Sarawak, masing-masing RM1 bilion bagi setiap negeri.

Bagaimanapun, bagi tahun ini jumlah subsidi dijangka meningkat dengan ketara.

“Setakat ini bagi tahun 2026, kerajaan perlu membayar kira-kira RM4.6 bilion subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak, iaitu sekitar RM2.2 bilion untuk Sabah dan lebih RM2 bilion untuk Sarawak,” katanya.

Anwar menjelaskan harga sebenar diesel di pasaran mencecah sekitar RM4.30 seliter, namun pengguna di Sabah dan Sarawak hanya membayar sekitar RM2.15 seliter kerana selebihnya ditanggung oleh kerajaan.

“Setiap kali rakyat beli diesel RM2.15, kos sebenar sebenarnya RM4.30. Siapa yang bayar lebih? Kerajaan Persekutuan yang bayar,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut menanggung subsidi besar bagi petrol RON95 yang dianggarkan sekitar RM2 bilion sebulan, atau kira-kira RM24 bilion setahun bagi memastikan harga kekal rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus menilai langkah terbaik bagi memastikan subsidi dapat diteruskan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

“Kita masih bertahan setakat ini. April bertahan lagi, Mei insya-Allah bertahan lagi. Selepas itu kita perlu berbincang dan mencari penyelesaian terbaik,” katanya.