
TAWAU, SABAH – Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan Kembara Kenali Borneo yang bermula di 0KM Point Tawau.
Disertai 25 buah kenderaan, kembara yang diketuai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilepaskan oleh Yang di-Pertuan Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada jam 8.28 pagi.
Didahului dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, motorcade atau perarakan kenderaan Istana Negara kemudian bergerak seiring dengan alunan selawat dan paluan kompang.
Turut hadir di monumen sejarah yang menjadi saksi kepada sejarah pembangunan Tawau dalam majlis flag off kembara diraja ialah Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya dan beberapa pemimpin tempatan serta isteri masing-masing.
Konvoi kenderaan yang dipandu sendiri Al-Sultan Abdullah serta anakanda itu sering kali memperlahankan kenderaan di lokasi-lokasi yang terdapat laungan “Daulat Tuanku” oleh rakyat jelata termasuk mercu tanda Tawau yang dipapar menggunakan huruf jawi Ta’ dan Waw. — JABATAN PENERANGAN SABAH





