Istana Seri Kinabalu Nafi Dakwaan Libatkan Keluarga TYT Dalam Kes Zara

Istana Seri Kinabalu Nafi Dakwaan Libatkan Keluarga TYT Dalam Kes Zara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu menafikan dakwaan ahli keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah terlibat dalam kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina, di Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Setiausaha Perhubungan kepada TYT, Datuk Abdulah Hussin, berkata tuduhan itu adalah “tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan bersifat fitnah” yang mencemarkan reputasi keluarga TYT.

Beliau menggesa orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu dan mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan kini telah dihantar ke Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam sebuah kenyataan sebentar tadi.

Beliau menasihatkan agar perkembangan siasatan dirujuk kepada pihak polis atau Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan.