CIANJUR, INDONESIA: Fenomena luar jangka melanda dunia pendidikan di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia apabila puluhan guru wanita memfailkan perceraian sejurus dilantik sebagai Penjawat Awam Negeri (ASN) menerusi skim Perjanjian Kerja Kakitangan Kerajaan (PPPK).
Sebanyak 42 guru wanita daripada kira-kira 3,000 penjawat awam PPPK yang menerima surat pelantikan mereka tahun ini telah memfailkan perceraian.
Ketua Pejabat Agama Islam Daerah (KUA) Cianjur, Ahmad Yani, mengesahkan peningkatan kes cerai dalam kalangan penjawat awam wanita, khususnya mereka yang bertugas sebagai guru sekolah rendah.
“Sebahagian besar daripada mereka baru sahaja menerima surat pelantikan PPPK. Selepas itu, mereka datang memohon cerai. Ini menjadi perhatian kami kerana peningkatan kes berlaku dalam tempoh yang singkat,” katanya seperti dipetik oleh Kompas.
Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemantauan dan penelitian terhadap trend ini.
Antara alasan utama yang dikemukakan termasuk tekanan rumah tangga, ketidaksefahaman dalam perkahwinan, dan ada yang menyatakan sudah lama ingin bercerai namun hanya menunggu kestabilan ekonomi atau pekerjaan tetap untuk bertindak.
Ahmad Yani menambah, walaupun penceraian adalah hak peribadi setiap individu, pihaknya tetap berharap agar pasangan yang menghadapi masalah dapat mendapatkan nasihat dan kaunseling terlebih dahulu.






