Jangan Pilih Parti Yang Sudah Gagal – Hajiji

Jangan Pilih Parti Yang Sudah Gagal – Hajiji

0
SHARE

KUDAT: Rakyat diingatkan agar tidak memilih parti yang telah gagal mentadbir negeri, tegas Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, rakyat sebaliknya perlu memilih kerajaan GRS yang terbukti menunjukkan prestasi cemerlang serta keupayaan memimpin Sabah sepanjang lima tahun ini.

Menurutnya, kerajaan GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan termasuk meningkatkan kutipan hasil serta rizab negeri.

“Ini adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan oleh rakyat. Kita mahu membawa Sabah ke satu tahap lagi selepas pilihan raya ini agar setanding dengan negeri lain. Kita bukan bercakap kosong seperti pembangkang yang suka membuat fitnah dan retorik tetapi sebenarnya kosong,” katanya pada Majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Banggi dan Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, Kudat, pada Selasa.

Turut hadir calon GRS DUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin dan calon GRS DUN Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin.

Sehubungan itu, Hajiji yang juga calon GRS bagi DUN Sulaman meminta rakyat di Banggi dan Tanjong Kapor memilih calon GRS sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya ini.

Beliau berkata, kedua-dua calon mempunyai visi jelas untuk membangunkan kawasan masing-masing khususnya dalam aspek pendidikan dan infrastruktur.

“Mereka merancang untuk kepentingan rakyat dan pemimpin seperti inilah yang kita mahu, yang ada visi dan matlamat. Jangan dengar calon-calon yang hanya pandai bercakap kosong tetapi pilihlah calon kerajaan kerana ini akan membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji turut menyatakan harapan agar GRS diberi mandat sekali lagi bagi meneruskan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan GRS telah berjaya membangunkan ekonomi, menarik pelaburan serta mewujudkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat.

“Inilah kerajaan yang membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat. Dulu kita tidak dengar perancangan seperti ini tetapi hanya kerajaan GRS yang memikirkannya. Jika taman perindustrian ini dilaksanakan, rakyat Kudat akan menikmati peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan pembangkang kononnya kerajaan GRS gagal adalah tidak berasas.

“Sebenarnya mereka yang gagal, sebab ada yang pernah menjadi ketua menteri, menteri luar bandar Persekutuan dan menteri JKR negeri, tetapi isu air, elektrik dan jalan raya luar bandar pun tidak selesai. Mereka mendakwa kerajaan negeri gagal tetapi yang gagal adalah mereka,” katanya.

Beliau menyeru rakyat supaya memberi peluang sekali lagi kepada kerajaan GRS untuk terus membawa lebih banyak pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam majlis berasingan, Perhimpunan Mega Jelajah Kempen PRU DUN Matunggong di Dewan Terbuka Matunggong, Hajiji menegaskan kepentingan pilihan raya kali ini dalam menentukan kerajaan Sabah untuk lima tahun mendatang.

“GRS hadapi pilihan raya ini dengan penuh yakin dengan rekod kejayaan membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Saya berharap pengundi Matunggong jangan salah pilih, tetapi pilihlah calon GRS, Datuk Julita Mojungki,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ramai calon bertanding di Matunggong, rekod perkhidmatan Datuk Julita sebagai wakil rakyat dan pembantu menteri menunjukkan beliau telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta membawa kemajuan ke kawasan itu.

Hajiji turut hadir pada Majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Bandau, PDM Bongon, Pekan Lama di Kota Marudu.