JETAMA Taja Sabah FC RM1.5 Juta, Logo ‘Waig’ Akan Dipapar Rasmi di...

JETAMA Taja Sabah FC RM1.5 Juta, Logo ‘Waig’ Akan Dipapar Rasmi di Jersi Pasukan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak Sabah FC menerima suntikan semangat baharu apabila Jetama Sdn Bhd menandatangani perjanjian penajaan bernilai RM1.5 juta bagi musim ini.

Melalui kerjasama ini, logo jenama air minuman baharu keluaran Jetama, Waig, akan dipaparkan secara rasmi di jersi pasukan.

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah ini berlangsung di The Pavilion, Shangri-La Tanjung Aru, dengan kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang.

Dalam ucapannya, Datuk Shahelmey menzahirkan penghargaan kepada Jetama atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bola sepak negeri.

“Penajaan ini bukan sekadar simbol komersial tetapi lambang perjuangan kita membawa Sabah FC ke mercu kejayaan. Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin kepada sinergi jangka panjang yang saling menguntungkan,” katanya.

Datuk Ahmad Naim pula menegaskan bahawa penajaan ini adalah manifestasi sokongan Jetama terhadap pembangunan belia dan sukan di Sabah.

Beliau turut mengumumkan Waig, yang bermaksud ‘air’ dalam bahasa Dusun, sebagai air minuman rasmi Sabah FC musim ini.

“Waig bukan sekadar produk, tetapi penghormatan kepada budaya tempatan. Ia akan menjadi nadi tenaga kepada pemain dari sesi latihan hingga ke perlawanan penting,” jelas beliau.

Tambah beliau, Jetama sebagai GLC Sabah yang sinonim dengan pengurusan air bersih dan kelestarian sumber alam kini melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan produk air minuman sulungnya.

Kerjasama strategik ini diharap akan menarik lebih banyak penyertaan syarikat GLC dan swasta dalam memperkukuh ekosistem sukan di negeri ini.

Orang ramai juga diseru menyokong Sabah FC melalui pembelian produk Waig, sebagai sebahagian usaha membina masa depan bola sepak negeri.