TAMBUNAN, SABAH – Kerajaan akan memastikan penjaja dan peniaga kecil terus berkembang maju seperti sebelum wabak COVID-19 melanda dunia.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, dua tahun yang lalu mungkin yang tersukar kepada perniaga kecil dengan ramai daripada mereka terpaksa menutup kedai atau terus menggulung tikar disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sekarang sektor ekonomi telah dibenarkan untuk dibuka semula dan kita semua boleh bernafas lega…
“Justeru itu, acara hari ini bertujuan untuk memulakan aktiviti komersial di daerah ini dan membantu perniagaan tempatan kita dengan cara yang terbaik,” katanya pada perasmian acara Tamu Besar di sini, kelmarin.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan berkata, acara itu adalah inisiatif kerajaan untuk menguji keadaan dan memudahkan orang ramai kembali menjalani kehidupan seperti dahulu kala secara perlahan dengan pematuhan yang ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Kita mahukan ekonomi domestik pulih dengan secepat mungkin tetapi orang ramai harus ingat bahawa musim pandemik belum berakhir lagi dan dengan itu, kesihatan awam mesti dikekalkan sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau juga berkata pejabatnya berdedikasi untuk menjadikan Tambunan sebagai hab penting untuk pertanian dan pelancongan di Sabah.
“Ini kerana daerah Tambunan dikurniakan tanah subur dan sumber asli yang unik yang tidak terdapat di daerah lain…
“Bagaimanapun, kita telah melihat peningkatan dalam jumlah ternakan yang berkeliaran di jalan awam dam mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa serta harta benda.
“Saya menyokong penuh keputusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangkap kesemua ternakan yang dibiar berkeliaran di jalan raya sebagai pengajaran untuk menjaga harta benda mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata langkah itu akan memastikan Tambunan lebih bersih ketika sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan semula pelancong pada tahun depan.
Beberapa aktiviti telah diadakan sepanjang majlis tersebut antaranya persembahan koir, pertandingan nyanyian, pertunjukan silap mata, pertunjukan boneka, lumba kereta kawalan jauh dan lain-lain.





