KUALA LUMPUR, SABAH – Malaysia sepatutnya berhenti mengeksport telur ke Singapura dan Hong Kong jika bekalan dalam negara tidak mencukupi.
Demikian ulasan Pengarah Urusan rangkaian Pasar Raya Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkenaan kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara.
“Tindakan mengimport bekalan telur ayam bukan satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kekurangan sumber protein itu di negara ini.
“Ia juga tidak masuk akal memandangkan Malaysia adalah pengeksport bersih barangan makanan itu…
“Jika pihak berkuasa mengatakan kita mengeluarkan telur yang mencukupi untuk pasaran domestik, mana (telurnya)? Peruncit tidak mempunyai bekalan mencukupi,” katanya kepada FMT Bussines.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, bahawa kerajaan bersetuju mengimport telur ayam daripada beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi.
“Jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan juga rancangan berkenaan, kerajaan perlu menjelaskan syarikat mana yang boleh mengimport telur dan peruncit yang dilantik syarikat terbabit.
“Kerajaan juga harus menyediakan senarai negara sumber telur dan senarai pengeluar yang diluluskan dari negara berkenaan. Namun, sukar untuk kita melihat bagaimana langkah mengimport telur ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ini.
“Telur mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi, dari aspek logistik, ia perlu diimport dari negara di rantau ini,” katanya.
Harga telur paling rendah adalah di Malaysia. Sedozen telur Gred C berharga RM4.92, tetapi di Thailand, ia bersamaan dengan RM7.42, Singapura (RM12.24), Indonesia (RM6.55), Brunei (RM10.15) dan Vietnam (RM5.78).
“Saya tidak nampak bagaimana telur yang diimport mampu dimiliki rakyat Malaysia.
“Perkara paling mudah dilaksanakan adalah kerajaan menarik balik kawalan harga,” katanya.