KOTA KINABALU: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan semula lagu dan suara penyanyi asal tanpa kebenaran kini semakin membimbangkan serta berpotensi menjejaskan integriti karya seni tempatan.
Justeru itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, menggesa agar aktiviti tidak bertanggungjawab itu dihentikan segera kerana ia boleh menjejaskan hak cipta serta kepentingan pengkarya dan penyanyi asal.
Menurut beliau, karya seni dan muzik tempatan perlu dihormati serta dilindungi bagi memastikan para pengkarya terus berkarya secara konsisten dan menyumbang kepada perkembangan industri seni kreatif.
“Menghormati hak cipta dan hasil karya asal adalah penting bagi memastikan industri seni tempatan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kreatif negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Pegawai Khas (Seni dan Kreatif) kepada kementerian berkenaan, Jimmy Palikat, sebelum ini turut menyeru agar Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) mengambil langkah proaktif untuk memantau serta mengekang penyalahgunaan teknologi AI dalam ruang digital.
Beliau berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi tersebut untuk menjana semula suara penyanyi asal serta mengolah karya tanpa kebenaran, sekali gus menjejaskan reputasi artis dan nilai karya asal.
Sehubungan itu, tindakan bersepadu daripada pihak berkuasa dan pemain industri dilihat penting bagi memastikan ekosistem seni kreatif tempatan terus terpelihara daripada penyalahgunaan teknologi baharu.






