KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes baharu COVID-19 Sabah naik mendadak kepada 650 KES hari ini berbanding 589 kelmarin iaitu peningkatan sebanyak 61 kes.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata peningkatan kes ini bukan sesuatu yang mengejutkan malah dijangka berlaku dengan kelonggaran pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial.
“Sabah sedang melalui trend peningkatan kes jika dinilai melalui graf kes harian bagi tempoh 14 hari yang lalu manakala tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula mula menurun dikalangan penduduk.
“Masyarakat diperingatkan sekali lagi keperluan bagi mematuhi semua SOP walaupun sudah lengkap divaksin…
“Vaksin tidak menjadikan kita kebal daripada jangkitan. Kes baharu setiap hari menunjukkan bahawa secara purata 60 peratus daripada semua jangkitan harian adalah keatas mereka yang sudah menerima vaksin lengkap,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah daerah yang mencatatkan penurunan dan peningkatan kes hari ini adalah sama iaitu masing-masing 13.
Hanya daerah Kalbakan kekal degan catatan sifar (0) kes sebagaimana pada hari kelmarin.
“Kecuali Kinabatangan dan Tawau, daerah-daerah di Pantai Timur Sabah menunjukkan kawalan penularan virus COVID-19 yang baik dengan jumlah jangkitan yang sedikit,” jelasnya.
Bilangan daerah yang mencatatkan peningkatan ketara agak banyak iaitu Tuaran +49 kes, Kinabatangan +40 kes, Beaufort +36 kes, Kota Belud +18 kes, Tawau +18 kes, Sandakan +11 kes dan Putatan +10 kes. Daerah yang mencatatkan penurunan jumlah kes ialah Kudat -24 kes, Tenom -21 kes, Kota Kinabalu -19 kes, Tambunan -12 kes dan Lahad Datu -11 kes.
Tidak ada kes lewat daftar keputusan ujian saringan COVID-19 melebihi 5 hari direkodkan hari ini. Ia dilihat sebagai petanda bahawa sistem pendataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah semakin bertambah baik.
“Sejumlah 392 kes atau 60 peratus (60.3%) merupakan kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu…
“Sebanyak 244 kes atau 37 peratus (37.5%) adalah kes lewat daftar antara 2-3 hari. Selebihnya adalah kes lewat daftar antara 4-5 hari,” katanya lagi.
Masidi berkata keberkesanan vaksin dapat dilihat daripada statistik harian pesakit.
“Sebanyak 95 peratus (95.4%) daripada keseluruhan kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2 yakni pesakit-pesakit yang tidak perlu rawatan di hospital…
“Dua (2) kes berada dalam Kategori 3 dan masing-masing empat (4) kes dalam Kategori 4 dan 5. Sejumlah 20 kes lagi masih dalam penilaian,” kata beliau.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (30 Okt) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Belud – 77 (59)
Tuaran – 68 (19)
Beaufort – 55 (19)
Kinabatangan – 54 (14)
Ranau – 48 (53)
Kota Kinabalu – 47 (66)
Kota Marudu – 46 (45)
Papar – 35 (33)
Tawau – 31 (13)
Penampang – 25 (30)
Sandakan – 23 (12)
Pitas – 20 (23)
Keningau – 17 (26)
Tenom – 17 (38)
Putatan – 17 (7)
Lahad Datu – 12 (23)
Tambunan – 10 (22)
Telupid – 10 (13)
Kudat – 7 (31)
Kunak – 6 (2)
Sipitang – 6 (15)
Beluran – 5 (14)
Tongod – 5 (1)
Nabawan – 4 (3)
Semporna – 3 (1)
Kuala Penyu – 2 (7)
Kalabakan – 0 (0)





