KOTA KINABALU, SABAH – Seorang anggota BEBAS mengesa kepimpinan Kerajaan Negeri dan pembangkang sepakat menyokong pelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Negeri Sabah PKP 3.0 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, tanpa perlu pewartaan dari Putrajaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, tindakan Hajiji membenarkan sektor ekonomi dan perniagaan terpilih untuk beroperasi adalah wajar dan ia perlu mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Adalah tidak adil semua negeri dan wilayah mengikut SOP yang sama sedangkan hanya dua atau tiga negeri menjadi penyumbang kepada peningkatan kes…
“Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula SOP pengurusan bencana COVID-19 kebangsaan dan ia sepatutnya dilaksana mengikut situasi kes setiap negari,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) berkata kebanyakkan negeri termasuk Sabah sudahpun berjaya melandaikan kes walaupun belum mencapai tahap zon hijau.
“Saya melihat SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan sekarang sudah tidak begitu relevan di Sabah kerana kes jangkitan harian di negeri ini berada ditahap yang rendah dan terkawal…
“Kerajaan Persekutuan juga perlu menyemak dan mengetatkan SOP terutama melibatkan sektor perindustrian,” katanya yang mengambil contoh seperti di Selangor yang menyumbang kes dan kluster yang banyak di negara ini.
Masiung berkata, rakyat terutamanya di Sabah sudah mula menyatakan rasa tidak puas hati, kerana mereka sudah mulai tertekan dengan bebanan ekonomi yang semakin meruncing.
Beliau mengesa Kerajaan Negeri tidak menarik balik cadangan membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi di Sabah sepanjang dua minggu PKP 3.0.

Menurutnya, sekiranya kes di Sabah meningkat melepasi angka harian 300 kes maka SOP akan diperketatkan semula mengikut kesesuaian.
Selain itu, turut dicadangkan beroperasi adalah aktiviti sukan dan reakreasi tidak bersentuhan seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.
Begitu juga ‘dine-in’ di restoran dan kedai makan, restoran di hotel dan juga gerai tepi jalan yang menjual sayur, ikan dan buah-buahan.