KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila berjaya menyelesaikan sebanyak 13 tuntutan utama berkaitan hak Sabah dan Sarawak.
Menurut Perdana Menteri, kemajuan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI bukan sekadar meneruskan dasar sedia ada, tetapi benar-benar berusaha memenuhi segala obligasi terhadap negeri-negeri Borneo sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof telah memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mempercepatkan penyelesaian isu-isu tertunggak antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Antara kejayaan besar yang dicapai termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah. Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri Sabah,” ketika berucap memberi penerangan mengenai pendirian kerajaan MADANI berhubung pemberian khas persekutuan kepada Sabah, di sini, hari ini.
Kerajaan MADANI turut mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bekalan Air Sabah (JBAS) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182, sekali gus memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek infrastruktur di peringkat negeri.
Kuasa melulus perolehan projek persekutuan di Sabah turut dipertingkat kepada had RM50 juta, selaras dengan prinsip desentralisasi dan kepercayaan terhadap kapasiti negeri.
Selain itu, pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53) juga telah diluluskan bagi membolehkan wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota tetap LHDN, satu langkah bersejarah yang memperkukuh suara negeri dalam urusan fiskal negara.
Anwar menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen sebenar Kerajaan MADANI dalam melaksanakan tanggungjawab moral dan perlembagaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, serta menzahirkan semangat keadilan, kesaksamaan dan perpaduan sejati dalam kerangka Malaysia MADANI.