Kerajaan MADANI Komited Perkukuh Pembangunan Sabah, Sarawak

Kerajaan MADANI Komited Perkukuh Pembangunan Sabah, Sarawak

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

Beliau berkata Kerajaan MADANI terus memberi keutamaan kepada pembangunan inklusif dan mampan di kedua-dua negeri, termasuk melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan bernilai tinggi serta peningkatan kemudahan awam, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, penekanan berterusan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), melibatkan isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam melindungi hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Mustapha turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan dalam agenda tenaga hijau, teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi, serta program perumahan rakyat dan skim pembiayaan untuk golongan belia.

“Usaha ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana wilayah, sebaliknya memastikan Sabah dan Sarawak terus menjadi rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak, agar terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan negara berteraskan prinsip MADANI.