Kerajaan Negeri Perhalusi Biasiswa UEC, Iktiraf Kelebihan Dwi-Kelayakan Pelajar Sekolah Cina

Kerajaan Negeri Perhalusi Biasiswa UEC, Iktiraf Kelebihan Dwi-Kelayakan Pelajar Sekolah Cina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memperhalusi skim biasiswa Unified Examination Certificate (UEC) bagi meluaskan akses kepada pelajar layak, sambil mengiktiraf pencapaian akademik tinggi serta kelebihan dwi-kelayakan pelajar sekolah menengah persendirian Cina di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata langkah itu bertujuan memastikan dasar biasiswa negeri kekal inklusif dan selari dengan realiti pendidikan semasa.

“Kita mengiktiraf bahawa pelajar sekolah persendirian Cina di Sabah menunjukkan prestasi akademik yang konsisten dan cemerlang, termasuk dalam peperiksaan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Persatuan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sabah (Sabah Dong Zong) yang diketuai pengerusinya, Datuk Au Kam Wah, bagi membincangkan mekanisme permohonan biasiswa, piawaian penilaian serta sokongan dasar kerajaan negeri.

Menurut James, keunikan sistem di Sabah yang mewajibkan pelajar sekolah persendirian Cina menduduki SPM sebelum mengambil UEC memberikan kelebihan tambahan kepada graduan.

“Ini menjadikan mereka memiliki dua kelayakan utama, sekali gus meningkatkan daya saing untuk melanjutkan pelajaran dan memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Au berkata data menunjukkan pelajar sekolah persendirian Cina di Sabah mencatat kadar kelulusan SPM melebihi 90 peratus setiap tahun sepanjang sedekad lalu.

“Pencapaian ini membuktikan pendekatan pendidikan yang holistik serta disiplin akademik yang kukuh di sekolah-sekolah persendirian Cina di Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kesediaan kerajaan negeri untuk menambah baik skim biasiswa UEC.

“Kami amat menghargai komitmen kerajaan negeri dan akan terus bekerjasama rapat bagi membangunkan pendidikan berkualiti serta melahirkan bakat berdaya saing untuk masa depan Sabah,” katanya.