KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Ke-9, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya petang tadi memperkenalkan ‘Keluarga Malaysia’ untuk mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada kemelut pandemik COVID-19.
“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum…
“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan sudah mengikat mereka semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di hampir semua media tempatan petang tadi.
Ismail Sabri meminta seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia,” katanya lagi.
Ismail Sabri turut mengakui bahawa beliau menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak COVID-19 ini.
“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua…
“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang dibuang kerja.
“Kita sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” tambah beliau.