SEOUL, KOREA – McDonald’s Korea akan menaikkan harga produk-produk utama bagi kali kedua dalam tempoh kira-kira enam bulan, langkah yang dilihat mahu memindahkan lonjakan kos bahan mentah dan logistik kepada pengguna.
Unit gergasi makanan segera global McDonald’s di Korea itu berkata, ia akan menaikkan harga 68 item, termasuk minuman dan pencuci mulut, secara purata sebanyak 4.8 peratus, lapor agensi berita Yonhap.
Antaranya, produk utama, burger Bic Mac, akan dijual pada harga 4,900 won (RM16.50) bermula Khamis minggu depan, naik 6.5 peratus daripada harga sekarang 4,600 won (RM15.40).
Langkah itu dibuat hanya enam bulan selepas ia mengumumkan kenaikan harga kira-kira 30 item pada Februari lalu.
“Kami memutuskan untuk menyelaraskan harga item menu bagi bertindak balas terhadap kenaikan perbelanjaan operasi daripada peningkatan harga bahan mentah dan yuran logistik,” lapornya memetik seorang jurucakap syarikat.
Kenaikan harga itu adalah yang terbaharu dalam beberapa siri langkah sama diambil oleh syarikat-syarikat makanan segera yang berdepan kesukaran berikutan lonjakan harga bahan mentah dan perbelanjaan logistik.
Harga antarabangsa komoditi utama telah meningkat apabila permintaan melonjak daripada penurunan yang berpunca daripada pandemik, manakala rantaian bekalan masih dihadkan oleh proses perkapalan.
Kenaikan harga bahan mentah telah melonjakkan kos bagi kebanyakan rangkaian makanan segera, memaksa mereka untuk memindahkan peningkatan kos kepada pengguna dalam usaha kekal berdaya saing.
Akhir bulan lalu, Burger King berkata ia akan menaikkan harga 46 item secara purata 4.5 peratus, keputusan yang dibuat hanya beberapa bulan selepas ia menaikkan harga secara purata 2.9 peratus Januari lalu.
Menurut Yonhap, francais burger dan ayam goreng, KFC telah menaikkan harga sebahagian menu sebanyak dua kali setakat tahun ini, kali pertama antara 100 hingga 200 won pada Januari dan kali kedua pada Julai sebanyak 200 hingga 400 won.
Kenaikan harga turut berlaku di rangkaian makanan segera tempatan.
Lotteria, rangkaian burger yang dikendalikan oleh Lotte Group, konglomerat utama Korea Selatan turut menaikkan harga 81 menu item secara purata sebanyak 5.5 peratus pada Jun, selepas kenaikan 4.1 peratus pada Disember.
Begitu juga, Mom’s Touch, satu lagi rangkaian makanan segera tempatan yang dikenali dengan burger ayam goreng, menaikkan harga makanan dua kali dalam tempoh hanya enam bulan.
-BERNAMA