REMBAU – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, isu kekurangan jururawat di negara ini sedang ditangani Kementerian Kesihatan termasuk dengan mengambil tindakan menghentikan pelaksanaan moratorium (penangguhan) di peringkat latihan kejururawatan.
Katanya, moratorium itu dilaksanakan beberapa tahun setelah didapati berlaku lambakan bilangan jururawat namun kini terdapat kekurangan bagi perjawatan jururawat.
“Ada beberapa fasiliti kesihatan yang mengalami kekurangan jururawat, kementerian dalam proses mengisi jawatan-jawatan tersebut…
“Saya juga telah meminta lebih ramai lagi dilatih menjadi jururawat sebab di peringkat latihan berlakunya moratorium untuk beberapa tahun.
“Jadi di peringkat latihan itu kami minta hentikan moratorium dan penambahan dapat dilaksanakan seperti mana diperlukan di hospital,” katanya.
Khairy menambah, isu kekurangan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan juga berpunca cabaran jururawat yang berhijrah ke negara luar untuk bekerja di sana.
“Saya sudah bawa kepada satu penyelesaian isu doktor kontrak, selepas ni saya mahu lihat pula soal jururawat, ada beberapa komitmen yang perlu dilaksanakan contoh jururawat yang sudah mendapat ijazah masih ada yang belum dinaikkan gred…
“Keduanya, jururawat masyarakat yang sudah melalui latihan untuk menjadi jururawat juga kami perlu selaraskan gred mereka,” katanya.