Lelaki Ugut Ibu Dengan Parang Demi Duit Di Tawau

Lelaki Ugut Ibu Dengan Parang Demi Duit Di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Laporan pantas seorang adik berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini apabila seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas mengugut untuk mencederakan ibu kandungnya dengan sebilah parang di Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam Isnin di sebuah rumah di Jalan Chester, sebelum suspek ditahan di kaki lima sebuah bangunan sekitar Bandar Tawau jam 2 pagi Selasa.

“Suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak diberikan wang. Ini bukan kali pertama dia berkelakuan agresif, malah sebelum ini pernah menyebabkan kerosakan pada harta benda jiran,” katanya.

Laporan polis dibuat oleh adik kandung suspek kira-kira sejam selepas kejadian, yang membolehkan gerakan mengesan dan menangkap suspek segera dijalankan.

Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Semakan awal mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kami menyeru agar orang ramai yang menjadi mangsa ancaman atau keganasan dalam keluarga supaya tidak teragak-agak membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” tambah Jasmin.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing berumur lewat 20-an turut ditahan selepas disyaki mengamuk di sebuah rumah di Taman Ria.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.