Akademi Oil & Gas Buka Laluan Kerjaya Belia Sabah, Tangani Pengangguran dan...

Akademi Oil & Gas Buka Laluan Kerjaya Belia Sabah, Tangani Pengangguran dan Kekurangan Tenaga Mahir

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Penubuhan Akademi Latihan Industri Minyak dan Gas serta pemeteraian lima perjanjian kerjasama strategik industri membuka lembaran baharu kepada belia Sabah untuk membina kerjaya dalam sektor berimpak tinggi, sekali gus membantu menangani isu pengangguran dan kekurangan tenaga mahir tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Marmaz Group, Datuk Jimsbon Unding berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan platform latihan berstruktur kepada anak tempatan agar mampu memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin berkembang di negeri ini.

“Usaha ini adalah untuk membawa belia Sabah merebut peluang pekerjaan dalam bidang Oil & Gas, selain menyokong hasrat kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Apabila peluang ini disediakan, kita dapat membantu mengurangkan pengangguran serta memastikan bakat tempatan terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Akademi berkenaan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, industri minyak dan gas merupakan sektor berteknologi tinggi yang memerlukan kemahiran khusus, namun potensi pertumbuhannya di Sabah dilihat semakin memberangsangkan, khususnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Sabah memiliki rizab minyak dan gas yang besar dan kerjasama erat antara kerajaan negeri serta syarikat industri dijangka mempercepatkan pembangunan sektor tersebut.

“Selama ini, industri ini banyak bergantung kepada tenaga kerja asing kerana kekurangan kepakaran tempatan. Namun melalui latihan sistematik dan kerjasama dengan CIDB Technologies Sdn Bhd, kita yakin lebih ramai tenaga mahir tempatan dapat dilahirkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarat kemasukan ke akademi itu tidak terlalu membebankan, sebaliknya akan disesuaikan mengikut kelayakan dan minat pelatih, manakala kos latihan ditetapkan oleh pihak CIDB Tech.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies Sdn Bhd, Mohd Hafiz Dasahi berkata, kekurangan tenaga kerja mahir khususnya dalam bidang kimpalan (welder) kini menjadi antara cabaran utama industri minyak dan gas di Sabah.

“Bilangan welder tempatan semakin berkurangan, antaranya disebabkan penghijrahan tenaga kerja ke luar negeri sebelum ini. Namun dengan pelaksanaan projek-projek baharu di Sabah, permintaan terhadap tenaga mahir dijangka meningkat.

“Justeru, kami akan memperkenalkan modul latihan baharu yang berpotensi menjadi rujukan di peringkat Asia Tenggara bagi memastikan bekalan tenaga kerja mencukupi dan berdaya saing,” katanya.

Beliau menambah, platform latihan yang diwujudkan itu akan memberi pendedahan menyeluruh kepada belia tempatan, khususnya dalam bidang kimpalan dan kepakaran teknikal lain dalam industri minyak dan gas.

Dalam majlis sama, lima memorandum persefahaman (MoU) dimeterai melibatkan MSOG Academy bersama CIDB Tech, MSOGSB dengan MTC Group dan ECOT, serta Marmaz Group Holding dengan Noble dan Caserina.

Kerjasama strategik itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Sabah, sekali gus memastikan lebih ramai belia tempatan mampu menembusi sektor berimpak tinggi itu tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.