Kerajaan Negeri Terus Perkukuh Mahkamah Anak Negeri

Kerajaan Negeri Terus Perkukuh Mahkamah Anak Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) dengan memastikan bidang kuasa yang jelas dan mencukupi, struktur institusi yang mantap serta pegawai yang berintegriti dan berwibawa, selaras dengan keperluan semasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu turut melibatkan penambahbaikan prosedur yang lebih moden, teratur dan berkesan bagi memastikan sistem keadilan anak negeri terus relevan serta berfungsi dengan baik.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM84.40 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan pelbagai program demi memastikan kebajikan serta adat resam anak negeri terus terpelihara.

“Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM69.98 juta diperuntukkan bagi bayaran elaun dan pentadbiran Ketua-Ketua Adat Negeri, manakala RM2.70 juta pula disalurkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya.

Teks ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, ketika merasmikan Seminar “Empowering Native Justice – The Way Forward” di sini, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, perundangan yang mentadbir adat anak negeri wajar dikaji dan diperkemas selaras dengan perubahan keadaan serta kehendak semasa, memandangkan sebahagian undang-undang berkaitan telah digubal sejak era kolonial.

“Undang-undang itu lahir dalam suasana dan realiti yang sangat berbeza daripada kehidupan hari ini. Sabah telah berubah, masyarakat telah berubah, begitu juga nilai ekonomi, struktur sosial dan cabaran kehidupan.

“Maka undang-undang juga mesti berubah, bukan untuk menafikan adat dan warisan, tetapi bagi memastikan keadilan terus relevan dan berfungsi,” katanya.

Beliau berharap seminar tersebut menjadi medan perbincangan yang berani, jujur dan berpaksikan kepentingan Sabah dalam mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh berkaitan sistem keadilan anak negeri.

Katanya, usaha memperkukuhkan undang-undang dan sistem keadilan anak negeri bukanlah langkah ke belakang, sebaliknya satu langkah ke hadapan bagi memastikan Sabah melangkah ke masa depan tanpa mengorbankan jati diri dan warisan.

“Program ini amat bermakna dan signifikan kepada masa depan rakyat Sabah, khususnya anak-anak negeri, memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan adat, identiti dan budaya yang berakar umbi sejak turun-temurun,” katanya.