KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak diyakini akan memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah agar lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, projek berkenaan turut menyumbang kepada pengurangan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat, di samping memperkukuh margin rizab elektrik Sabah serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini.
“Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga, bukan sahaja melalui kerjasama dalam bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama.
“Usaha memperkukuh pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan. Komitmen Kerajaan Negeri adalah jelas, iaitu memastikan bekalan elektrik negeri ini terus diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Hajiji berkata, bagi pihak Kerajaan Sabah, beliau percaya usaha bersama itu merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP-EAGA, khususnya melalui pembangunan infrastruktur merentasi sempadan menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG).
“Melalui inisiatif ini, kita secara langsung meningkatkan prospek ekonomi semua negara terlibat. Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan akan mengukuhkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, seterusnya memacu pertumbuhan sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya.
Beliau menambah, sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo, bukan sahaja bagi membuka potensi perdagangan tenaga merentasi sempadan, malah mewujudkan rangka kerja pasaran tenaga serantau yang bersepadu, cekap dan mampan.
Menurutnya, interkoneksi Grid Sabah–Sarawak merupakan satu pencapaian penting yang membuka laluan kepada hubungan tenaga masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan seterusnya Filipina selatan.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya bahawa permintaan elektrik di Sabah semakin meningkat seiring pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar, sekali gus menjadikan pemenuhan keperluan tenaga sebagai keutamaan strategik yang kritikal.
“Bagi menangani perkara ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah serta agensi berkaitan lain telah melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa meliputi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan margin rizab penjanaan yang mencukupi serta meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga Sabah,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif utama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk kelulusan serta pembangunan projek penjanaan tenaga baharu dengan campuran sumber tenaga yang pelbagai.
“Ini merangkumi penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, selain pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin, serta teknologi penyimpanan tenaga termaju termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam,” katanya.
Menurutnya, langkah-langkah tersebut bukan sahaja meningkatkan kapasiti penjanaan, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada satu sumber tenaga sahaja.
Hajiji menegaskan, Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring kelestarian alam sekitar.
“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, fokus diberikan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon. Usaha ini selaras dengan komitmen perubahan iklim di peringkat negeri dan nasional, demi memastikan masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Sabah kekal teguh dalam misinya untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.






