KOTA KINABALU, SABAH – Kes baharu COVID-19 Sabah kelmarin (Khamis) melonjak naik 74 kes dari sebelum ini yang membawa kepada jumlah 203 KES.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan terdapat DUA (2) kluster baharu dan juga SATU (1) kes kematian di daerah Kota Kinabalu.
‘Kluster Paris Tiga’ di Kinabatangan melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah Kilang Sawit Bell.
Masidi berkata kes indeks merupakan seorang kerani wanita, 41, mula bergejala sejak 7 Jun dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun.
“Saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang terbabit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes…
“Disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja kilang dan ladang yang lain,” katanya.

Bagi kluster kedua di Brumas Camp, Kalabakan, merupakan kluster baharu di Mukim Brumas melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja.
“Kes indeks adalah guru lelaki di SK Brumas, 50, yang juga AJK Masjid Al-Ubudiyah di Perumahan Brumas Camp dalam Ladang Perkayuan Sabah Softwood…
“Kes indeks disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun dan sehingga 22 Jun, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan tersebut,” jelas beliau.
Turut disahkan isteri serta dua anak kepada kes indeks yang salah seorang bekerja di Ladang Perkayuan Brumas Camp Softwood.
Dalam pada itu, LIMA (5) kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DIperketatkan (PKPD) bermula dari 26 Jun sehingga 9 Julai.
Kawasan tersebut termasuk Kampung Muhibbah, Menggatal di Kota Kinabalu, Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan di Tawau, Kampung Kuala Merotai di Kalabakan, Kampung Tahak, Membaku di Beaufort dan Flat Indah Jaya di Sandakan.
Selain dari itu sebanyak 104 kompaun melanggar SOP COVID-19 telah dikeluarkan seluruh negeri.





