KOTA KINABALU; Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohamed Razali Razi@Bob menegaskan bahawa kesinambungan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 amat penting bagi memastikan pembangunan negeri tidak tergendala akibat pertukaran kerajaan yang kerap.
Bercakap kepada media selepas pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 hari ini, Razali menyifatkan manifesto baharu itu sebagai “menyeluruh dan realistik,” yang merangkumi aspek pembangunan, peluang anak muda, pemberdayaan wanita serta fokus utama kepada memastikan kelangsungan SMJ 2.0.
Menurut calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau itu, rakyat Sabah tidak boleh lagi dibebani dengan ketidakstabilan politik yang membawa kesan langsung terhadap prestasi pembangunan negeri.
“Manifesto ini menyeluruh… tetapi yang paling penting ialah kesinambungan SMJ 2.0. Kita tidak boleh kehilangan haluan ini. Matlamat kita adalah kestabilan. Jangan lagi tukar-tukar kerajaan, nanti yang rugi adalah rakyat,” tegasnya.
Mengulas mengenai isu tiga serangkai termasuk air, elektrik dan jalan raya, Razali menegaskan bahawa usaha penyelesaian telah lama berjalan dan bukan sekadar janji dalam manifesto.
“Jangan tengok manifesto semata-mata. Sebelum manifesto pun, banyak projek sedang dan sudah dilaksanakan untuk selesaikan tiga serangkai ini. Manifesto hanyalah sebahagian daripada ‘puzzle’ kepada isu-isu yang sedang ditangani. Tahun depan banyak projek siap. Ia bukan retorik, ia sedang berlaku di lapangan,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa pertukaran kerajaan berpotensi melambatkan projek serta menukar kontraktor, Razali mengingatkan rakyat bahawa keadaan itu hanya akan mengundang lebih banyak kerugian.
“Sampaikan kepada rakyat Sabah, cukup-cukuplah. Sudah tiba masanya kita bersatu dan maju bersama. Jangan biarkan kita kembali ke zaman tidak stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razali turut menepis dakwaan mengenai laporan bahawa penyokong akar umbi Gagasan Rakyat di beberapa kawasan seperti Lamag dan Sukau yang dikatakan beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau menegaskan tiada laporan rasmi diterima setakat ini.
“Shifting? Kita belum terima laporan. Tidak boleh komen sebab mesti berdasarkan bukti,” katanya.






