KOTA KINABALU: “Kita bawa idea, bukan kebencian.” Itu penegasan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob yang meletakkan pendekatan politik baru sebagai teras kempen beliau, iaitu politik yang menawarkan solusi, data dan perancangan, bukan sentimen perpecahan.
Menurutnya, politik masa kini memerlukan kaedah penyelesaian yang lebih tersusun dan inklusif, terutama melibatkan komuniti di peringkat kampung serta taman perumahan.
Sehubungan itu, beliau menekankan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti sebagai struktur baharu yang akan menggabungkan kepimpinan kampung, JKK serta golongan belia dalam teras manifesto kempen.
“Mereka (belia) mahu didengari. Mereka mahu tahu apa perancangan pemimpin kampung. Suara mereka perlu diangkat,” katanya sambil menegaskan bahawa peranan belia bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi pembuat keputusan bersama dalam pengurusan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi walkabout di CKS Menggatal, pada Selasa.
Razali turut mencadangkan pembinaan Youth Hub di setiap kampung sebagai ruang rekreasi sihat dan selamat untuk anak muda.
Katanya, belia memerlukan satu pusat yang terarah dan membina, bukan sekadar tempat untuk melepak tanpa hala tuju.
Mengulas keutamaan pertama jika diberi mandat, Razali yang juga Setiausaha Eksekutif GRS berkata, beliau akan membentuk pasukan pakar untuk menjalankan sesi brainstorming demi merangka sistem pengurusan kampung yang baharu dan lebih efektif.
“Kita kena buat secara baharu, bukan lagi cara konvensional. Semua pembangunan mesti berasaskan dasar tersusun, direkodkan dan disusun untuk tempoh lima tahun,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa semua mesyuarat Majlis Pengurusan Komuniti akan dipengerusikan sendiri olehnya bagi memastikan komunikasi telus, keputusan berdasarkan konsensus, serta pelaksanaan yang berdisiplin.
Razali turut menegaskan bahawa setiap perancangan pembangunan akan disertakan KPI, laporan tahunan dan ‘report card’ yang akan dibentangkan kepada masyarakat secara terbuka. Langkah ini, katanya, penting bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan sepanjang penggal perkhidmatan.
Mengenai perkembangan kempen, Razali menyatakan bahawa beliau menerima respons yang sangat positif daripada rakyat Darau, khususnya golongan belia yang menyambut baik pendekatan politik matang dan berpaksikan idea.
“Kita bercakap tentang tawaran spesifik untuk Darau, bukan retorik. Belia semakin percaya bahawa mereka memerlukan pemimpin yang ada visi dan minda yang membawa mereka ke depan,” katanya.
Razali turut menegaskan pentingnya kesinambungan dasar di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, sikap “tukar kerajaan setiap pilihan raya” hanya merencatkan pembangunan dan menyebabkan banyak dasar terbatal sebelum sempat memberi kesan kepada rakyat.
“Kita mahu kestabilan politik. Kalau tukar-tukar kerajaan, polisi terbatal. Sayang. Kita perlu kesinambungan,” tegasnya.






