PASIR PUTEH – Bapa arwah Nurnasibah Husna Ibrahim sudah lama berhajat melihat anak sulung itu menyarung jubah konvokesyen dan menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Memetik kenyataan akhbar Harian Metro, impian itu ditanam sejak Allahyarham menuntut di universiti berkenaan lebih setahun lalu namun semuanya tinggal kenangan apabila gadis berkenaan meninggal dunia akibat lemas dalam tragedi bot terbalik dekat Pulau Rhu, Kuala Besut, 8 Ogos lalu.
Ibrahim Abdul Kadir, 51, berkata, arwah sepatutnya menamatkan pengajiannya dua tahun lagi dan membanggakan keluarga dengan ijazah yang diperolehnya.
“Malangnya kejadian yang berlaku sudah meragut nyawanya. Kami sekeluarga sukar menerima kenyataan arwah sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Namun kami tidak boleh menidakkan takdir Allah SWT. Kami reda, tetapi tetap sedih mengenang impiannya berkubur.
“Apatah lagi arwah seorang yang ceria, membantu keluarga dan menjadi contoh teladan kepada tiga adiknya yang masih kecil dan bersekolah,” katanya di rumahnya di Kampung Alor Pasir, di sini, semalam.
Terdahulu, pesara tentera itu menerima kunjungan rombongan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diketuai Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Abdul Ghaffar Yusop yang menyerahkan Sijil Pelepasan Hutang PTPTN serta cek khairat kematian.
Hadir sama Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri Kelantan Mohd Azrul Akmal Mamat. Turut diadakan majlis tahlil buat arwah yang juga dihadiri ahli keluarga dan jiran terdekat.
Dalam kejadian 8 Ogos lalu, bot dinaiki Nurnasibah Husna, 21, bersama 14 penuntut universiti lain dari Pulau Perhentian mengalami masalah enjin dan terbalik dekat Pulau Rhu.
Empat belas penuntut itu berjaya diselamatkan namun Nurnasibah meninggal dunia kerana lemas selepas terperangkap di bawah bot.
Sementara itu, Abdul Ghaffar berkata, pihaknya memberi pelepasan hutang pinjaman pendidikan arwah sebanyak RM2,398.32 dan khairat kematian kepada warisnya iaitu ibu Nurnasibah Husna, Rosnani Abdullah, 46, bernilai RM1,500.
Beliau berkata, arwah seorang peminjam dan masih menuntut serta dilindungi di bawah Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN, sekali gus melayakkannya menerima semua manfaat itu.
“Kami di PTPTN sentiasa memikirkan kebajikan peminjam dan berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam dan waris mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sehingga 31 Julai 2017, sebanyak 2.71 juta pinjaman diluluskan dengan jumlah pinjaman RM50.41 bilion.
Pada tempoh sama, seramai 7,127 peminjam dengan jumlah RM115.98 juta sudah memperoleh manfaat perlindungan takaful selain PTPTN menyerahkan tuntutan khairat kematian kepada 6,463 penuntut atau waris yang berjumlah RM8.08 juta.
“Bagi mana-mana peminjam yang sudah meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh didapati melalui portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my,” katanya