TAWAU – Seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Tawau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah.
Suspek yang juga wanita berumur 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini kira-kira jam 4.15 petang semalam, selepas menerima aduan daripada seorang pengadu pada Selasa lalu.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, menerusi satu kenyataan hari ini, berkata suspek dipercayai telah meminta wang rasuah sebanyak RM1,000 daripada pengadu pada 15 Ogos kira-kira jam 5.00 petang.
“Wang rasuah itu sebagai dorongan untuk melepaskan bot dan enjin milik pengadu yang telah dirampas oleh pihak KPDNKK atas kesalahan menyeludup 10 tong gas petroleum cecair (LPG).
“Wang tunai RM500 telah diserahkan oleh pengadu pada hari yang sama pada 15 Ogos lalu manakala baki wang sebanyak RM500 lagi akan diserahkan pada hujung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini, membenarkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini selepas permohonan dikemukakan Pemangku Penolong Kanan Penguasa SPRM Sabah, Muhammad Nur Zam Zam Maidin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tiba di pekarangan Mahkamah Tawau dengan diiringi anggota SPRM pada jam 10.23 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi.