KOTA KINABALU: Kos RM11.8 juta bagi kerja naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melibatkan kerja pengubahsuaian menyeluruh ke atas 26 kemudahan tandas yang digunakan secara intensif oleh jutaan penumpang setiap tahun.
Projek yang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu merangkumi pembaharuan penuh tandas lelaki, wanita dan orang kurang upaya (OKU) di seluruh terminal, dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi lapangan terbang tidak terganggu.
Naik taraf tersebut melibatkan keseluruhan 196 kubikel tandas, 25 tandas OKU, empat bilik penjagaan bayi serta 26 stor janitor.
Skop kerja termasuk pelupusan sepenuhnya sistem lama dan pembinaan semula sistem paip serta sanitari, kerja kalis air dan saliran baharu, naik taraf mekanikal dan elektrik, ciri kebolehcapaian yang dipertingkat serta pemasangan kelengkapan tahan lasak untuk penggunaan trafik tinggi.
“Kemudahan di KKIA telah beroperasi lebih 20 tahun dan mengalami kehausan serius akibat penggunaan berterusan.
“Oleh itu, pembaikan bersifat kosmetik tidak lagi mencukupi dan penggantian menyeluruh diperlukan bagi memenuhi piawaian kebersihan, keselamatan dan aksesibiliti lapangan terbang antarabangsa.
“Semua kerja dilakukan dalam terminal yang masih beroperasi, memerlukan zon kerja terkawal, penyelarasan rapi dengan operasi lapangan terbang serta pelaksanaan berfasa bagi memastikan tandas sentiasa tersedia kepada penumpang,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Fasa pertama projek telah siap pada Mac 2025, manakala fasa kedua dijadualkan siap pada April 2026.
Dalam hal ini, terdapat cubaan pihak tertentu kebelakangan ini untuk mengaitkan isu kos projek dengan kerajaan negeri.
Projek naik taraf KKIA adalah di bawah tanggungjawab MAHB, sebuah syarikat berkaitan kerajaan Persekutuan, dan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan serta perbelanjaan operasi MAHB.
Kerajaan negeri Sabah tidak terlibat dalam pembiayaan atau pelaksanaan projek tersebut.






