SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh 14 hari sudah memadai dan mencukupi bagi semua parti politik berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, tempoh berkempen dalam pilihan raya sebelum ini melibatkan jumlah hampir sama dan ada yang kurang dari 14 hari.
Beliau berkata, parti politik perlu melakukan perancangan masing-masing supaya tempoh kempen kali ini mencukupi buat mereka…
“Jika terlampau lama, orang juga akan complaint (mengadu) sebab too long (terlalu panjang) dan penat kerja. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sudah menentukan, jadi kita akur dan bekerja berdasarkan jumlah yang disediakan untuk berkempen,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 19 November ini sebagai hari pengundian PRU15 yang turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November ini manakala pengundian awal pada 15 November dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah 14 hari. Sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari manakala PRU13 15 hari.