Kurang Lima Pekerja, Majikan Boleh Tangguh Kuat Kuasa Gaji Minimum

Kurang Lima Pekerja, Majikan Boleh Tangguh Kuat Kuasa Gaji Minimum

0
SHARE
V Sivakumar
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar - ihsan laman media sosial rasmi Kementerian Sumber Manusia

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata majikan dalam kategori terbanit diberikan penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat pihaknya selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

“Keputusan ini juga dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan.

“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.

“Kementerian Sumber Manusia berharap penangguhan ini diterima baik oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 mula berkuatkuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Menerusi peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.

Pelaksanaan gaji minimum baharu itu diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April lalu.

Pada masa sama, Sivakumar menegaskan majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei lepas.

Katanya, ia termasuk majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

“Justeru majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” katanya.