KOTA KINABALU: Lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gegar yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada awal pagi Khamis.
Operasi yang melibatkan 40 pegawai dari Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu, memeriksa seramai 278 individu termasuk warganegara Malaysia dan asing.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 3 lelaki dan 5 perempuan dewasa dari Filipina dan Indonesia, disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM menerusi kenyataan hari ini.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang tanpa izin.






