KOTA KINABALU: Acara larian tahunan “Jom! Malaysia-China 2026” kembali berlangsung pada 26 Julai ini, bermula jam 6 pagi di Padang Merdeka.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah, Dr. Oh Ei Sun berkata acara itu dijangka menarik penyertaan ramai, sekali gus memupuk gaya hidup sihat dan semangat kesukanan.
Dianjurkan persatuan berkenaan dengan sokongan SKECHERS, larian sejauh kira-kira 7 kilometer itu bermula di Padang Merdeka, menuju ke bulatan luar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Likas sebelum berpatah balik.
Pengerusi penganjur Michael Lim berkata sebanyak 249 hadiah cabutan bertuah bernilai RM43,608 ditawarkan, termasuk hadiah utama kasut larian selama setahun bernilai RM5,508 serta pelbagai hadiah wang tunai.
Peserta turut menerima kit larian mengandungi baju acara, beg mesra alam, baucar diskaun 25 peratus, nombor bib dan pingat penamat.
Yuran penyertaan ialah RM65 (early bird hingga 31 Mei) dan RM80 (sehingga 12 Julai). Penyertaan terhad dan berdasarkan siapa cepat dia dapat.






