Loji Pengekstrakan Phytonutrien tingkatkan kedudukan Sabah dalam pasaran oleokimia antarabangsa

Loji Pengekstrakan Phytonutrien tingkatkan kedudukan Sabah dalam pasaran oleokimia antarabangsa

0
SHARE

KUNAK, 30 September – Pembukaan Loji Pengekstrakan Phytonutrien Kunak Lipids Sdn Bhd di sini akan meletakkan Sabah secara strategik untuk memenuhi keperluan pasaran oleokimia antarabangsa, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Yang sama penting, katanya, loji ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan ekonomi tempatan, khususnya di daerah ini dan kawasan sekitarnya.

“Loji ini adalah bukti komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk mengembangkan dan mempelbagaikan operasi mereka melebihi pengeluaran komoditi mentah.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan rantaian nilai industri kelapa sawit serta memastikan Sabah terus menjadi peneraju dalam sektor hiliran bernilai tinggi,” katanya pada majlis perasmian loji berkenaan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, berkata beliau berbangga dengan inisiatif Kumpulan menghasilkan tokoferol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3), yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Ini membuktikan bahawa Sabah sedang berinovasi dalam memanfaatkan kekayaan kelapa sawit ke arah produk berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau menambah bahawa Malaysia telah lama mengimport berjuta-juta kilogram Vitamin E setiap tahun.

“Dengan tocotrienol kini dihasilkan secara tempatan, kita bukan sahaja mengurangkan kebergantungan import tetapi juga membuka peluang baharu dalam pasaran nutraseutikal di samping meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau lagi, perkara ini sudah tentu akan mewujudkan peluang ekonomi yang signifikan untuk negara pengeluar kelapa sawit meningkatkan pengeluaran dan pembangunan produk bernilai tambah.

“Ia juga menekankan keperluan pengurusan dan penanaman secara lestari dalam industri kelapa sawit bagi memastikan bekalan berterusan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.”

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelaburan yang membangunkan industri hiliran kelapa sawit secara lestari dan inovatif.

“Saya percaya loji ini akan menjadi pemangkin utama kepada hasil negeri, menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat, serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab hiliran kelapa sawit di rantau ini,” katanya.