
TELUPID, SABAH – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatan Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah teruja melihat hasil seni lukis wanita kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan, Yvonne Tapaang Marcus (42) dari Batu 5 Telupid di rerurai di Institut Perhutanan Sabah (IPS), pada Selasa.
Lukisan berupa potret Seri Paduka Baginda berdua memakai pakaian tradisional ‘Sinabu’ dari suku kaum Sungai Tongod dihasilkan Yvonne untuk dipersembahkan kepada baginda berdua.
Menurut adik Yvonne, Mary Ann Marcus, kakaknya mengalami kecacatan akibat terkena air panas yang mengakibatkan 70 peratus badan kakaknya melecur pada usia setahun.
“Walaupun dia mempunyai kekurangan dari segi pertuturan dan pendengaran namun dia punya bakat seni dalam bidang lukisan.
“Melalui bakat seni lukisan ini kakak saya pernah mewakili negara dan mendapat tempat kelima pada 10th Abilympics Skill Competition 2023 di Perancis jelas,” Mary Ann.
Pada majlis yang sama, Al-Sultan Abdullah turut dipersembahan tarian tradisional Magalai Labuk Telupid melalui 12 orang penari dan pemuzik tradisional daripada Kumpulan ASLA dibawah pimpinan Fauziah Kudus.
Tarian warisan seni budaya suku kaum Dusun Labuk tersebut mewakili 13 sukuan yang terdapat di Daerah Telupid.
Sejurus majlis santapan, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing yang diadakan pada sebelah pagi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di IPS pada jam 3.50 petang, diiringi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Menyambut keberangkatan tiba rombongan Kembara Kenali Borneo di IPS adalah Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib serta ADUN N47 Telupid Jonnybone J. Kurum. — JABATAN PENERANGAN SABAH