MA63 Sedang Dalam Perbincangan untuk Direalisasikan – Ketua Menteri

MA63 Sedang Dalam Perbincangan untuk Direalisasikan – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memaklumkan bahawa isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan kebelakangan ini masih berada dalam peringkat perbincangan dan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua isu berkenaan MA63 sedang diusahakan secara berterusan bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh dan adil kepada Sabah.

“Sekarang ini ia sedang dalam perbincangan untuk direalisasikan. Insya-Allah, kita tunggu sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyatakan bahawa MA63 tidak memperuntukkan soal pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas, Hajiji berkata perkara tersebut adalah pandangan pihak berkenaan dan masih tertakluk kepada perbincangan lanjut.

“Itu pandangan mereka, kita tengah berbincang,” katanya ringkas.

Terdahulu, Azalina dilaporkan berkata MA63 berfungsi sebagai dokumen asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan penetapan hak autonomi tertentu kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak merangkumi pengurusan sumber petroleum yang kini tertakluk di bawah undang-undang Persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Dalam perkembangan lain, Hajiji menegaskan bahawa pelancaran SMJ 2.0 hari ini menjadi panduan utama kerajaan negeri bagi perancangan pembangunan dan pengurusan pentadbiran Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berharap penjawat awam negeri dan Persekutuan dapat melaksanakan hala tuju SMJ 2.0 dengan penuh komitmen demi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar serta memberi manfaat nyata kepada rakyat Sabah.