KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan sebanyak 13 tunjang utama dalam manifesto yang bakal dilaksanakan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya berkata manifesto terbabit dibentuk berpandukan empat teras perjuangan GRS yang meliputi ‘Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu)’.
Menurutnya, ia merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting untuk rakyat Sabah.
Memperincikan 13 perkara terbabit, antara perkara yang akan ditekankan GRS ialah memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sanah menerusi tiga sektor utama membabitkan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Disamping itu, GRS juga bakal memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk kerajaan negeri, meneruskan usaha tuntutan hak negeri Sabah daripada Persekutuan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disamping memastikan kerajaan Persekutuan mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah, khususya dalam kawasan ESSZONE.
GRS juga menitik beratkan usaha pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat disamping menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang keusahawanan dan pengubah dasar.
Selain itu, GRS juga bakal memperkasakan lagi urus tadbir perkhidmatan awam serta meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas negeri ini.
Hajiji turut berkata pihaknya juga akan menekankan perkara berhubung kemudahan dan fasiliti di mana GRS bakal memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas dalam aspek naik taraf jalan raya seluruh Sabah, membina dan menaiktaraf loji air dan pembinaan Pan Borneo disegerakan.
Usaha mempercepatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ sebanyak 1,500 buah serta memperbaiki pengurusan tanah
juga akan dilaksanakan dan diteruskan.
Dari aspek kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat Sabah, Hajiji juga memperincikan GTS bakal memperkasakan usaha memupuk perpaduan antara masyarakat di Sabah.
Disamping itu, GRS juga akan menuntut kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Wilayah Sabah dengan kuasa signifikan dan memastikan peruntukan pembangunan disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diurustadbir.