RM9.5 Juta Bagi Program Pemuliharaan Warisan Seni Budaya Sabah

RM9.5 Juta Bagi Program Pemuliharaan Warisan Seni Budaya Sabah

0
SHARE
Kaamatan
Jeffrey (tengah) memulakan upacara mengetam padi sebagai gimik pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) bagi program pemuliharaan warisan seni budaya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan tersebut adalah bagi memperkasa industri pelancongan berasaskan budaya melalui hentian budaya (cultural pit stop) di dua lokasi baharu iaitu di Kota Belud dan Tawau.

“Dengan keindahan alam semula jadi yang bertaraf dunia, serta keunikan budaya berbilang kaum serta menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia sekarang adalah masa untuk kita memperhebatkan semula industri pelancongan yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan Negeri Di Bawah Bayu sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.

“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan,” katanya sempena Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Seri Sulaman, pada Isnin.

Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan, beliau menjelaskan selain bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik, sambutan ini juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan.

“Melalui perayaan ini, semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup kita perlu terus diperkukuh dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia Madani.

“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya,” tambah beliau.

Hajiji juga meminta agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah terus meningkatkan usaha mereka untuk mempromosikan dan mempamerkan budaya masing-masing serta berbangga dengan identiti budaya yang diwarisi sejak turun temurun.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Tahun 2023.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew serta Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee — JABATAN PENERANGAN SABAH