Ziarah Hari Raya Punca Tercetusnya ‘Kluster Desa Ranggu’ Di Sabah

Ziarah Hari Raya Punca Tercetusnya ‘Kluster Desa Ranggu’ Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Individu yang telah melengkapi dos vaksinasi masing-masing pada bulan Mac telah mencetuskan kluster baharu di Tawau yang mana membawa kepada jumlah 217 KES COVID-19 baharu di Sabah kelmarin (Khamis) dengan satu (1) kes kematian di daerah Kunak.

Jurucakap negeri Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan ‘Kluster Desa Ranggu’ berlaku selepas sambutan perayaan Aidilfitri di kawasan terbabit.

“Individu yang juga kluster indeks merupakan seorang wanita, 53, yang mempunyai gejala sejak 15 Mei yang kemudiannya disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei…

“Susulan itu saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati 17 kes lagi positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes,” katanya.

Siasatan awal mendapati jangkitan berpunca dari satu kontak sosial yang datang beraya ke rumahnya pada 13 Mei.

“Kontak sosial terbabit mempunyai rekod pergerakan ke tiga lagi buah rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertuanya di Kampung Jawa sebelum dikesan positif pada 22 Mei,” tambah beliau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 27 Mei 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Sementara itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mewajibkan semua jemaah supaya membawa sejadah dan telekung sendiri semasa menunaikan solat di masjid, surau atau bilik-bilik sembahyang yang disediakan oleh pemilik-pemilik premis perniagaan.

Masidi berkata pihak pengurusan masjid, surau dan pemilik-pemilik premis perniagaan tidak menyediakan peralatan tersebut.

“Penganut agama Kristian, Buddha dan lain-lain juga diwajibkan membawa peralatan sendiri semasa beribadat di rumah ibadat masing-masing…

“Notis mengenai kewajiban membawa peralatan sendiri hendaklah dipamerkan di semua premis ibadat. Larangan pengkongsian peralatan sembahyang di premis – premis ibadat adalah bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu Masidi memperincikan kebenaran permainan atau sukan golf pada masa ini hanyalah bagi tujuan rekreasi sahaja.

Kebenaran ini juga adalah tertakluk hanya seorang pemain sahaja dibenarkan menggunakan sebuah ‘buggy’.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran sebarang pertandingan golf dengan serta merta sehingga 07 Jun 2021…

“Dengan keputusan ini, maka kebenaran penganjuran pertandingan golf yang dikeluarkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia Dan Sukan Sabah sebelum ini adalah dibatalkan dengan serta merta,” kata beliau.