WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) segera menghantar pasukan udaranya bagi membantu carian kapal selam Indonesia jenis KRI Nanggala-402 yang hilang bersama 53 kru di perairan Bali, Rabu lalu.
Jurucakap Pentagon, John Kirby yang dipetik AFP berkata, Jabatan Pertahanan AS amat sedih dengan tragedi kehilangan kapal selam tersebut.
“Kami bersimpati dengan kelasi terbabit dan keluarga mereka. Atas permintaan kerajaan Indonesia, kami menghantar aset udara bagi membantu carian kapal selam yang hilang itu,” katanya.
Tambah beliau, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, akan menemui Ketua Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan bagaimana AS boleh membantu.
Tompokan minyak di lokasi di mana kapal selam itu dipercayai berada menunjukkan mungkin berlaku kerosakan pada tangki minyak, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku tragedi lebih buruk.