2 Jet Pengebom Supersonik AS Tunjuk Belang Di Semenanjung Korea

2 Jet Pengebom Supersonik AS Tunjuk Belang Di Semenanjung Korea

0
SHARE

SEOUL – Amerika Syarikat (AS) mula menunjukkan belang kekuasaan mereka terhadap Pyongyang apabila bertindak menerbangkan dua jet pengebom supersonik di semenanjung Korea dalam latihan ketenteraan bersama Jepun dan Korea Selatan.

AFP melaporkan bahawa Pasukan Udara Pasifik AS, kedua-dua jet B-1B Lancer yang berpangkalan di Guam itu terbang di sekitar kawasan Laut Jepun lewat malam tadi.

Ketuanya, Mejar Patrick Applegate berkata, pasukan itu berkongsi kebolehan yang amat penting iaitu keupayaan untuk terbang dan menjalani latihan pada waktu malam bersama rakan sekutu mereka.

Pihak berkuasa pertahanan Korea Selatan hari ini berkata, pesawat pengebom itu mempamerkan simulasi latihan pelancaran peluru berpandu dari udara ke darat bersama dua jet pejuang Korea Selatan di sekitar Laut Jepun (Lautan Timur).

Ketua Pegawai Bersama Korea Selatan berkata, keempat-empat pesawat kemudian terbang di sekitar semenanjung Korea dan melakukan latihan tembakan kedua ke arah Laut Kuning sebelum kedua-dua pesawat B-1B itu pulang ke pangkalan masing-masing.

“Latihan itu adalah sebahagian daripada agenda rutin yang dilaksanakan dengan tujuan mengukuhkan pertahanan terhadap ancaman nuklear Korea Utara.

“Menerusi latihan kali ini, Korea Selatan dan pasukan udara AS mempamerkan keupayaan masing-masing dalam menangkis ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara,” katanya dalam satu kenyataan.