KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menegaskan majikan di negeri ini perlu tampil dengan segera dan memberi komitmen sepenuhnya terhadap Program Regularisasi Bersasar berkuatkuasa serta-merta.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata dalam hal ini, pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar di Sabah akan bermula pada bulan September 2024 sebagai projek rintis dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Sebagai permulaan, Pihak Berkuasa Negeri Sabah akan menyelaraskan persiapan awal dengan melakukan pendaftaran bagi tujuan Program Regularisasi Bersasar terhadap 274 orang warga asing kategori tidak sah daripada tiga buah syarikat perladangan yang telah dikenalpasti.
“Oleh demikian, Jabatan ini ingin menegaskan dan memohon kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya pihak majikan agar tampil dengan segera dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap program ini.
“Kejayaan pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar ini juga adalah tertakluk kepada pihak kedutaan untuk mengeluarkan pasport tanpa sebarang halangan.
“Selepas program ini dijalankan, JIM akan melaksanakan operasi secara besar-besaran dan mana-mana pihak majikan yang gagal untuk hadir ke pejabat ini sehingga Disember 2024, akan didakwa dan JIM sama sekali tidak akan berkompromi dengan kehadiran PATI di Malaysia khususnya di Sabah yang cuba menggugat kedaulatan negara,” beliau berkata demikian dalam sesi sidang media bersama Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sini, semalam.
Beliau menambah, Program Regularisasi yang mula dilaksanakan pada April 2019 adalah berfokuskan kepada hasrat kerajaan untuk mengurangkan golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia dan Filipina yang kebanyakannya bekerja tanpa pas yang sah di sektor perladangan dan pertanian di seluruh Negeri Sabah.
“Bagi mencapai hasrat tersebut Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan kelompok berkenaan diletakkan di bawah Program Regularisasi 2019 yang mana kelompok yang telah dikenal pasti akan dikeluarkan pasport/dokumen perjalanan melalui pihak Kedutaan negara masing-masing.
“Sejurus pasport dikeluarkan oleh pihak kedutaan, pihak majikan/ syarikat akan tampil menghantar permohonan ke Jabatan Imigresen dengan menyertakan bersama surat kelulusan kuota daripada Kerajaan Negeri mengikut keperluan majikan/ syarikat yang terlibat sahaja.
“JIM hanya mengeluarkan pas kerja iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk sektor perladangan dan pertanian sahaja berdasarkan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada majikan/syarikat.
Menurut Sitti, melalui Program Regularisasi 2019 ini, ianya sekaligus dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan pertanian, dengan cara mengenalpasti keperluan golongan- golongan ini untuk diambil sebagai pekerja yang sah berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan- peraturan Imigresen serta undang-undang sedia ada.
“Walaubagaimanapun Program Regularisasi 2019 telah ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 30 April 2023, ekoran daripada prestasi tidak konsisten yang telah menjejaskan kelancaran program ini, antaranya disebabkan ancaman penularan wabak COVID-19, isu kekurangan bekalan pasport yang dialami oleh pihak kedutaan pada ketika itu dan tiada kerjasama daripada pihak majikan.
“Namun, berikutan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin baik pulih dan rancak, Kerajaan Negeri Sabah melalui Pihak Berkuasa Negeri telah meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyambung semula program ini dengan pelaksanaan yang dikenali sebagai Program Regularisasi Bersasar sepertimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) pada 25 Julai 2024,” tambahnya lagi.
Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar ini akan dimulai oleh Pihak Berkuasa Negeri iaitu dengan mengenalpasti terlebih dahulu jumlah bilangan keperluan pekerja-pekerja di ladang-ladang berkaitan. — JABATAN PENERANGAN SABAH