KOTA KINABALU, SABAH – Seperti diduga pendakwaan membabitkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Dato’ Peter Anthony di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekali lagi ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu 28 Julai.
Memetik kenyataan portal Malaysiakini petang tadi, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan bahawa pertuduhan ke atas ADUN Melalap Parti Warisan yang dijadualkan esok (10 Julai) ditangguhkan hingga 28 Julai.
Peguam bela Peter, Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut mengesahkan bahawa pertuduhan yang dijadualkan esok itu telah ditangguhkan ke 28 Julai.
Alasan yang diberikan oleh Peter kali ini ialah terpaksa menghadiri program bersama Ketua Menteri Sabah di Sabah.
Sebelum ini, pendakwaan ke atas Peter turut ditunda kerana secara tiba-tiba diserang penyakit ‘Vertigo’, namun beberapa orang saksi menyatakan bahawa telah terserempak dengan Peter di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) pada hari yang sama Peter sepatutnya hadir untuk pendakwaan.
Pada 11 Jun, bertempat di di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Peter turut didakwa dengan lima (5) pertuduhan iaitu dua (2) mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 manakala tiga (3) lagi membabitkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pendakwaan kedua ke atas Peter pula pada 18 Jun juga bertempat di Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu berkenaan tuduhan bersubahat kes pecah amanah wang membabitkan penjualan tanah RISDA bernilai RM15,545,400.
Dalam pada itu, Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM) dalam satu kenyataan mengulas penundaan tarikh pendakwaan itu berkata; “pendakwa raya sepatutnya mengeluarkan waran tangkap ke atas Peter.”
“Orang awam akan melihat wujudnya layanan ‘double standard’ (pilih kasih) ke atas Peter di dalam kes ini.
“Apa akan berlaku sekiranya pada 28 Julai nanti Peter memberikan pula alasan lain untuk menolak dari pendakwaan.
“Alasan pertama boleh diterima akibat sakit ‘Vertigo’ tetapi alasan kali kedua ini langsung tidak boleh diterima,” tambah GERAM lagi.