Mangsa Rogol Pilih Bunuh Diri Secara Sah Selepas Pertikaian Panjang

Mangsa Rogol Pilih Bunuh Diri Secara Sah Selepas Pertikaian Panjang

0
SHARE

BARCELONA: Seorang wanita Sepanyol yang pernah menjadi mangsa rogol mengambil keputusan menamatkan hayat secara sah melalui eutanasia selepas melalui pertempuran undang-undang selama 18 bulan dengan bapanya.

Noelia Castillo, 25, yang lumpuh akibat cubaan membunuh diri pada 2022, meninggal dunia di sebuah hospital di Barcelona pada Khamis.

“Saya mahu pergi dengan tenang sekarang dan hentikan penderitaan,” katanya dalam temu bual bersama Antena 3 sehari sebelum kematiannya.

Hak untuk menjalani eutanasia telah diluluskan kerajaan wilayah Catalonia pada 2024, namun pelaksanaannya tertangguh susulan bantahan undang-undang oleh bapanya dengan sokongan kumpulan peguam Kristian.

Kes itu akhirnya memihak kepadanya selepas Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah membenarkan permohonannya minggu ini.

Castillo sebelum ini mendedahkan penderitaan hidupnya, termasuk dibesarkan di rumah kebajikan, masalah alkohol bapanya serta menjadi mangsa serangan seksual oleh bekas teman lelaki dan beberapa lelaki lain.

Kes berprofil tinggi itu mencetuskan perdebatan di Sepanyol mengenai peranan institusi dalam menjaga kebajikan pesakit serta hak individu untuk memilih mati, dengan pengkritik mendakwa sistem telah gagal melindunginya, manakala pihak lain menegaskan keputusannya wajar dihormati.