Masjid, Surau Seliaan JAKIM, JAWI Diarah Adakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah,...

Masjid, Surau Seliaan JAKIM, JAWI Diarah Adakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah, Bantah Tindakan Israel

0
SHARE

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk melaksanakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bermula malam ini selepas Solat Maghrib dan diteruskan selepas Solat Jumaat esok, 3 Oktober, di semua masjid dan surau di bawah pentadbiran mereka.

Arahan ini dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, susulan tindakan biadab rejim Israel yang memintas dan menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin, awal pagi tadi.

Dalam kenyataannya, Dr. Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan akan menyampaikan Khutbah Jumaat Khas berkaitan isu Palestin esok sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza.

“Saya mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri turut mengambil langkah yang sama,” katanya.

Beliau menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama-sama mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada semua aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla, khususnya rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan pihak Israel.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan berdoa untuk kesejahteraan dan kemenangan rakyat Palestin yang terus berdepan kezaliman rejim Zionis.

“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.