Masyarakat Perlu Syukuri Kemerdekaan Yang Telah Dikecapi

Masyarakat Perlu Syukuri Kemerdekaan Yang Telah Dikecapi

0
SHARE

SIPITANG, SABAH – Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa menggesa masyarakat untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dinikmati selama ini.

Beliau berkata kemerdekaan membolehkan semua lapisan masyarakat dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur.

“Perpaduan antara kaum dan etnik merupakan nikmat yang amat berharga dan sangat bernilai terutamanya di negeri ini yang mempunyai pelbagai bangsa dan etnik…

“Oleh itu, ia perlu dibelai, disemai dan dipelihara dalam setiap insan agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada anda yang hadir untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing tidak kira di pejabat, rumah, gerai, warung mahupun kenderaan masing-masing bagi menzahirkan semangat bersyukur sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Sipitang, Awangku Raimy Pg. Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut Awangku Raimy turut menandatangani Buku Lawatan Konvoi KMKM 2022 serta menyampaikan Jalur Gemilang kepada para pemimpin masyarakat dan Komuniti Keluarga Malaysia Daerah Sipitang.

Konvoi KMKM 2022 yang berada di daerah ini untuk hari kedua pengembaraannya, juga membuat edaran Jalur Gemilang kepada kenderaan awam turut diadakan di sepanjang Jalan Esplanade Sipitang.

Hadir sama, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, Ketua Daerah Sipitang, Daut Kassim dan Pegawai Penerangan Daerah Sipitang, Awangku Shoffian Pengiran Minggu.