Mayat Nelayan Hilang di Tuaran Timbul di Kudat Seminggu Kemudian

Mayat Nelayan Hilang di Tuaran Timbul di Kudat Seminggu Kemudian

0
SHARE

KUDAT: Misteri kehilangan seorang nelayan yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di muara Sungai Serusup, Tuaran, terjawab apabila mayatnya ditemui di Pantai Kelambu, Kudat, pukul 2 petang semalam kira-kira 150 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Mangsa, Husaini Saidin, 34, dikenal pasti selepas dibawa ke Hospital Kudat untuk proses pengecaman. 

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim dalam sebuah kenyataan berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat terbabit dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak 1 September dengan kekuatan lebih 25 anggota bomba, polis, APM, PPM serta bantuan penduduk kampung akhirnya ditamatkan selepas penemuan mayat berkenaan.

Mangsa dilaporkan keluar memukat ikan pada awal pagi 30 Ogos, namun gagal pulang sebelum bot serta pukatnya ditemui terdampar di pantai.