Menteri KPSTI Lawat Hab AI Pertama di Sabah

Menteri KPSTI Lawat Hab AI Pertama di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib telah mengadakan lawatan ke Studio AI di Wisma Bandaraya di sini hari ini bagi meninjau kemudahan serta potensi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) dalam pembangunan pendidikan dan inovasi di negeri ini.

Studio berkenaan merupakan hab AI pertama di Sabah, yang dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem teknologi digital serta menyokong penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu.

Lawatan itu bertujuan melihat secara lebih dekat keupayaan teknologi AI dalam membantu memacu kemajuan pendidikan, penyelidikan serta inovasi, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasa pembangunan teknologi digital di Sabah.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Hassan Mahali; Timbalan Setiausaha Tetap I kementerian, Doria Tai Yun Tyng; Setiausaha Politik kepada Menteri, Justinus Jalang, serta kakitangan kementerian dan pegawai kanan Pejabat Menteri.

Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah komited untuk terus menyokong pembangunan teknologi baharu khususnya kecerdasan buatan bagi memacu kemajuan pendidikan, inovasi dan ekonomi digital di negeri ini.