KOTA KINABALU: Peguam kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa individu bernama Huzaifa Al-Likasi @ Tandiko bin Dalusin telah gagal memberikan kerjasama bagi menerima surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) yang telah dihantar sejak awal September lalu.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, peguam Khalid Murshidi mendedahkan bahawa pasukan “process server” telah berhubung dengan Tandiko pada 4 September 2025 melalui aplikasi WhatsApp untuk menyerahkan surat tuntutan bertarikh 3 September 2025. Namun, segala usaha termasuk mesej dan panggilan telefon tidak dibalas.
“Penama Tandiko bin Dalusin tidak memberi maklum balas terhadap mesej yang dihantar, malah beberapa panggilan telefon turut tidak dijawab dan ada yang dimatikan,” katanya.
Menurut Khalid, berdasarkan pengalaman profesional, serahan akan dilakukan melalui pos berdaftar sekiranya individu yang disaman cuba mengelak atau takut untuk bersemuka.
Namun hasil semakan mendapati alamat berdaftar Tandiko berada di Daerah Rasah, Seremban, sedangkan beliau kini bermastautin di Sabah, menjadikan serahan melalui pos berdaftar tidak relevan.
Justeru, peguam tersebut memaklumkan bahawa anak guamnya telah mengarahkan agar serahan semula surat tuntutan bertarikh 3 September 2025 dilaksanakan semula dalam masa terdekat.
Khalid turut menegur sikap Tandiko yang lantang mencabar agar tindakan undang-undang diambil terhadapnya dalam video berdurasi 3 minit 56 saat bertarikh 30 Oktober 2025, namun menghilang apabila tindakan sebenar diambil.
“Anak guam saya bersedia melaksanakan serahan semula dan berharap agar Tandiko kali ini memberikan kerjasama kepada pihak kami bagi memudahkan urusan penyerahan,” tegasnya.
Beliau menambah, tindakan mengelak daripada menerima surat tuntutan menunjukkan ketidaksediaan individu tersebut berhadapan dengan proses undang-undang yang sah, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan dan keberanian di sebalik kenyataannya di media sosial.
 
             
	





