MyIPO Tumpu Sekolah Sukan, Tingkat Kesedaran Harta Intelek Dalam Kalangan Atlet Muda

MyIPO Tumpu Sekolah Sukan, Tingkat Kesedaran Harta Intelek Dalam Kalangan Atlet Muda

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memberi tumpuan kepada sekolah sukan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek dalam kalangan atlet muda yang ketika ini masih berada pada tahap rendah.

Pengerusinya, Riduan Rubin berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi Program Turun Padang Bersama Pelajar Sekolah Sukan Sabah sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 yang berlangsung hari ini.

Menurut beliau, program bertemakan “Harta Intelek Nadi Malaysia MADANI: Daripada Idea ke Podium” itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan melindungi idea, inovasi dan hasil kreativiti mereka.

“Kita menyasarkan sekolah sukan kerana melihat kesedaran dalam kalangan generasi muda, khususnya atlet, terhadap kepentingan harta intelek masih rendah dan perlu dipertingkatkan.

“Program ini memberi kefahaman bagaimana mereka sebagai inovator boleh melindungi hak cipta serta menjana pulangan daripada hasil dan idea mereka,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan.

Riduan berkata, program tersebut dilaksanakan serentak di lima Sekolah Sukan Malaysia di seluruh negara melibatkan Sabah, Sarawak, Johor, Kedah dan Terengganu, selain pernah diadakan sebelum ini di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Sabah turut mencatatkan pelbagai pendaftaran harta intelek melibatkan produk tempatan seperti kopi Tenom serta jenama Yit Foh dan Pachoi, selain pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) termasuk pomelo dan kopi Tenom.

Mengulas trend semasa, katanya, pendaftaran harta intelek dalam kalangan usahawan tempatan menunjukkan peningkatan, namun masih ketinggalan berbanding pendaftar dari luar negara.

“Pendaftaran tempatan meningkat, tetapi masih terdapat jurang besar berbanding pihak luar yang lebih mendahului kita,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha memperluas kesedaran akan terus dipergiatkan termasuk melalui kerjasama dengan kementerian berkaitan, antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diterajui Ewon Benedick bagi memperkasa usahawan tempatan.

Selain itu, katanya, pelbagai program kesedaran turut dilaksanakan di peringkat sekolah dan komuniti bagi memastikan pemahaman mengenai harta intelek dapat diperluas secara menyeluruh.

Dari segi kategori pendaftaran, beliau berkata kebanyakannya melibatkan usahawan, penyelidik universiti serta pihak luar yang membawa masuk teknologi dan produk ke Malaysia.

Riduan turut memaklumkan setakat ini sebanyak kira-kira 340 notifikasi telah diterima, khususnya melibatkan karya sastera seperti buku dan bahan pembelajaran, selain menegaskan tiada kes pelucutan hak harta intelek dilaporkan setakat ini.

“Setakat ini belum ada lagi harta intelek yang dilucutkan,” katanya.