KOTA KINABALU: PKR Penampang menegaskan bahawa dakwaan Lim Guan Eng kononnya Kerajaan Madani telah mengabaikan Sabah adalah tidak tepat.
Ketua AMK Penampang merangkap Naib Ketua AMK Sabah, Eldridge Laurence Timis, berkata anak muda Sabah tidak mudah dibodohkan dan masih ingat sejarah pembangunan negeri yang pernah terjejas akibat keputusan kerajaan terdahulu.
Eldridge menegaskan kerajaan MADANI kini memastikan subsidi bersasar, bantuan tunai, bantuan makanan, serta peruntukan infrastruktur sampai terus kepada rakyat, bukannya hilang dalam ketirisan.
Beliau juga mengingatkan bahawa ketika Lim menjadi Menteri Kewangan pada 2018, projek mega seperti Pan Borneo Sabah dihentikan, dikaji semula, dan ditukar kontraktor sehingga menyebabkan pembangunan negeri tertangguh, harga barang meningkat, serta perjalanan antara daerah kekal perlahan dan berbahaya.
“Rakyat Sabah menghargai pentadbiran yang jujur dan telus, bukannya retorik politik lama
“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memberi pengiktirafan penuh kepada Sabah dan Sarawak, termasuk peningkatan peruntukan, autonomi berperingkat, serta keutamaan infrastruktur,” tegasnya.
Lim Guan Eng pula dalam kenyataan Facebooknya baru-baru Ini menekankan bahawa keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini menunjukkan pengundi Sabah kecewa dengan cukai tambahan, namun menafikan dakwaan bahawa beliau hanya menimbulkan isu ini selepas DAP tewas di Sabah.






